Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Bakal Ditambah. Ini Jumlahnya....


Kerajaan tidak menolak kemungkinan menambah lagi jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi golongan B40 jika harga barang masih belum stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan menambah subsidi kepenggunaan sedia ada sebanyak RM77 bilion.

“Saya umum pada Fasa 2 BKM kita tambah daripada RM400 jadi RM500. Kita tambah RM100, bukan `beri rm100′. Keseluruhan kepada golongan B40 setahun RM2,600.

“Kita ada dua fasa lagi iaitu Fasa Ketiga dan Keempat. kita akan tengok keadaan jika perlu naikkan lagi. Kalau harga telah stabil kita tidak naikkan.

“Komitmen kerajaan bantu rakyat tangani kos sara hidup juga dibuktikan dengan meningkatkan pemberian subsidi kepada RM77 bilion tahun ini dan mungkin bertambah lagi berbanding peruntukan asal RM31 bilion pada 2020,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan.

Terdahulu, Ismail Sabri menerangkan, kenaikan harga barang merupakan suatu fenomena global yang sedang berlaku di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Menurut beliau, kenaikan berlaku akibat pandemik Covid-19, perubahan iklim melampau serta konflik Rusia-Ukraine yang menyebabkan berlaku krisis makanan dunia.

Jelas beliau, Malaysia merupakan negara pengimport makanan dan terpaksa mengimport RM63.06 bilion makanan setahun sama ada makanan secara langsung atau tidak langsung.

“Makanan secara langsung seperti bawang dan gandum. Makanan tidak langsung seperti makanan haiwan yang turut menyumbang kepada kenaikan harga haiwan seperti ayam.

“Kita mengimport bijiran gandum dan kacang soya sebagai contoh dan kos pengeluaran ayam 70 peratus disumbang oleh makanan,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pemberian subsidi oleh kerajaan menyebabkan inflasi di Malaysia paling rendah di Asia Tenggara dan berkemungkinan paling rendah di seluruh dunia.

Jelas beliau, inflasi di Malaysia kekal pada 2.8 peratus berbanding Thailand (7.7 peratus), Singapura (5.6 peratus), Indonesia (4.4 peratus) United Kingdom dan Amerika Syarikat masing-masing 9.1 peratus.

“Maknanya kerajaan berbelanja lebih RM77 bilion bagi pastikan rakyat tidak terkesan teruk akibat daripada kenaikan harga barang yang berlaku di seluruh dunia,” katanya. 

Sumber: KOSMO! ONLINE 

Post a Comment for "Jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Bakal Ditambah. Ini Jumlahnya...."