Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Siti Nurhaliza Terima Undangan, Titip Pesan Pada Noraniza Jangan…

 

Jemputan Noraniza Idris kepada rakan seperjuangannya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai tetamu kenamaan di malam konsertnya mendapat maklum balas positif daripada penyanyi nombor satu negara itu.

Pelawaan penyanyi dan pejuang irama tradisional itu disambut dengan rasa terima kasih dan penuh kesyukuran oleh Siti Nurhaliza.

Buah hati kesayangan negara itu berkata, sekiranya tiada sebarang halangan dan keadaan mengizinkan, beliau sedia untuk hadir dan menonton konsert Noraniza di Istana Budaya, Kuala Lumpur sekitar Oktober depan.

“Siti berterima kasih dan bersyukur dengan niat murni, ingatan dan juga doa Kak Ani (Noraniza) semasa Siti di Mekah tempoh hari. “Bagi Siti, sekiranya tidak ada apa-apa halangan, Insya-Allah Siti hadir sebagai tetamu, tiada masalah,” ujar Siti Nurhaliza kepada Astro AWANI pada Ahad.

Siti Nurhaliza berkata demikian sebagai mengulas undangan yang dibuat Noraniza kepadanya untuk menjadi tetamu kenamaan di malam Konsert Malai Solo yang dianjurkannya pada Oktober depan.

Konsert Malai Solo juga, jelas, Noraniza, akan menjadi konsert terakhirnya.


Sementara itu, Siti Nurhaliza juga dalam masa sama menitipkan doa agar segala urusan dan perancangan Noraniza untuk menjayakan konsertnya akan dipermudahkan.

Siti Nurhaliza juga optimis segala niat baik penyanyi senior itu akan dipermudahkan.

“Cuma harapan Siti ialah janganlah Kak Ani berhenti menyanyi. Siti rasa ramai orang sangat menghargai Kak Ani sebagai pejuang lagu-lagu irama tradisional.

“Tapi Siti faham masing-masing ada matlamat dalam kehidupan dan kerjaya. Apapun, Siti doakan yang terbaik buat Kak Ani,” ujar Siti Nurhaliza yang pernah menjadi rakan duet Noraniza dalam lagu irama tradisional Hati Kama dan Dondang Dendang menerusi album Hati Kama yang diterbitkan pada 1999.

Hubungan Siti Nurhaliza dan Noraniza tidak pernah terlepas daripada menjadi tumpuan oleh wartawan hiburan dan peminat industri muzik tanah air sejak lebih sedekad lalu.

Pernah sama-sama menaungi label syarikat rakaman Suria Records (SRC), hubungan kedua-dua mereka disifatkan ‘dingin’ namun, masing-masing selesa bersikap profesional dan tidak pernah mencetus sebarang provokasi.



Bahkan, peminat kedua-dua penghibur itu juga amat menghormati pendirian mereka.

Siti Nurhaliza dan Noraniza merupakan antara penyanyi tempatan yang komited memperjuangkan irama muzik tradisional sejak dua dekad lalu.

Kedua-dua penyanyi ini juga antara anak didik kepada komposer dan tokoh irama tradisional negara, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah.

Bersama Allahyarham Pak Ngah, mereka banyak merakamkan lagu-lagu irama tradisional dan menempa kemasyhuran luar biasa serta mencetus fenomena dalam industri muzik tanah air.

Post a Comment for "Siti Nurhaliza Terima Undangan, Titip Pesan Pada Noraniza Jangan…"