Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Mas Idayu Dah Terima Tanda, Nikah Pertengahan September Nanti

KUALA LUMPUR – Penyanyi dangdut bertaraf legenda, Mas Idayu mengakui sudah menerima tanda sebagai ikatan hubungannya dengan penerbit eksekutif televisyen, Muhammad Sufian Ahad lalu.

Mas Idayu yang mesra disapa Mummy berkata, tanda berupa barangan kemas tersebut diserahkan selepas ahli keluarga kedua-dua belah pihak bertemu bagi membincangkan dengan lanjut mengenai hari bahagia mereka.

“Baru beberapa hari pihak dia hantar tanda di kampung Mummy iaitu di Kota Tinggi, Johor. Tapi tanda itu bukanlah acara bertunang mahupun merisik.

“Sesi tersebut lebih kepada saling mengenali antara keluarga kedua-dua pihak dan pada masa sama dia berikan tanda,’ katanya.

Mas Idayu ditemui pada sidang akhbar Karaoke Superstar terbitan Astro di ibu kota petang semalam.

Ditanya mengenai persiapan, pelantun lagu Robek Hatiku itu berkata, setakat ini persiapan pernikahannya sudah pun 70 peratus siap dan tarikh nikah akan diberitahu kelak.

“Sebenarnya tarikh nikah sudah pun ada, cumanya kami tunggu masa sesuai untuk kongsikan kepada semua.

“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah hingga ke saat ini. Tinggal lagi untuk pilih lokasi dan beberapa perkara lain sahaja.

“Ikutkan perancangan setakat ini, kami akan buat majlis berinai dan khatam al-Quran tanpa majlis resepsi,” katanya.

Awal bulan lalu, Mas Idayu mengesahkan bakal menamatkan zaman janda dengan lelaki pilihannya itu September depan.

Terdahulu, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai sembilan tahun selepas itu.


Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.

Sekadar Perkongsian Dan Jangan Lupa Komen Yang Baik Baik Sahaja.TQ

Post a Comment for "Mas Idayu Dah Terima Tanda, Nikah Pertengahan September Nanti"