Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Harga durian dijangka naik termasuk jenis Musang King mencecah RM80 sekilogram

 


JASIN: Harga durian dijangka naik termasuk jenis Musang King mencecah RM80 sekilogram di seluruh negara pada musim buah itu akan datang. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia susulan bekalan mengalami penyusutan pada tahun ini disebabkan hujan berterusan.

Katanya, perkara itu turut dimaklumkan Persatuan Penanam Durian mengenai kenaikan harga durian premium termasuk Black Thorn (Duri Hitam) dan Musang King. 



“Kita jangka harga durian akan naik sekali ganda, termasuklah Black Thorn boleh mencecah RM100 sekilogram, manakala Musang King sekitar RM60 sehingga RM80. 

“Ini disebabkan bekalan durian merosot atas faktor cuaca hujan berterusan, baja dan kenaikan gaji pekerja,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Umbai, di sini semalam.

Jelasnya, hujan yang berterusan telah memberi kesan kepada proses pembungaan lantas menyebabkan putik durian gugur. 

Dalam pada itu, Ahmad turut memberitahu, Pulau Pinang dan Perak telahpun mengalami penyusutan tersebut mencecah sehingga 50 peratus. 

“Saya telah minta pandangan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berhubung isu ini termasuk Pulau Pinang dan Perak yang telah menyaksikan penyusutan hasil durian. 

“Kita tidak dapat kawal harga yang ditetapkan pemborong dan peniaga durian, jadi apa pun ia berbalik kepada prinsip asas ekonomi iaitu apabila permintaan lebih tinggi dari pengeluaran, harga akan naik,” ujarnya.

Sekadar Perkongsian Dan Jangan Lupa Komen Yang Baik Baik Sahaja.TQ

Post a Comment for "Harga durian dijangka naik termasuk jenis Musang King mencecah RM80 sekilogram"